Saturday, August 6, 2011

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Seremban Jaya telah ditubuhkan pada 1 Jun 2009.  Pada 16 April 2009, pihak pengurusan SK Seremban Jaya 2 telah dilantik dan melapor diri di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan iaitu En. Ahmad Bin Harun, Guru Besar, Pn. Rozaimah Binti Harun, Guru Penolong Kanan Kurikulum, Pn. Zaitun Binti Ahmad, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Tuan Haji Norhizam B. Zulkifle, Guru Penolong Kanan Kokurikulum.  Mereka telah menumpang di SK Seremban Jaya selama seminggu.  Kemudian, mereka telah  berpindah ke bangunan SK Seremban Jaya 2 yang masih dalam pembinaan.

Mesyuarat guru kali pertama telah berlangsung pada 31.12.2009 di ruang pejabat, SK Seremban Jaya 2.  Seramai 42 orang guru daripada pelbagai opsyen hadir.  90% daripada mereka merupakan guru SK Seremban Jaya.

Warga SK Seremban Jaya 2 memulakan sesi persekolahan pada sebelah petang dengan menumpang belajar di SK Seremban Jaya dari 4 hingga 15 Januari 2010.  Terdapat sebanyak 30 buah kelas dengan kapasiti murid seramai 850 orang.  Sesi persekolahan bermula pada jam 1.15 petang hingga 6.35 petang (Isnin – Khamis) dan jam 2.15 petang hingga 6.35 petang (Jumaat).  Urusan pentadbiran dilakukan di Bilik Percambahan Minda, SK Seremban Jaya.

Pada 11 Januari 2010, pihak kontraktor telah menyerahkan bangunan SK Seremban Jaya 2 kepada pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia yang kemudian menyerahkannya pula kepada Encik Ahmad Bin Harun, Guru Besar SK Seremban Jaya 2.  Peristiwa bersejarah ini turut disaksikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Jamali Bin Haji Salam, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Tuan Haji Hamzah B. Haji Abu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Shafie B. Mohd. Nor, Ketua Unit, Perkhdiamtan dan Pendaftaran,  Pegawai Unit Pembangunan dan Bekalan, dan Encil Suhaimi Bin Mohd. Yusof, Penyelia Kanan, Unit Hal Ehwal Murid, Pejabat Pelajaran Daerah Seremban.

15 Januari 2010 merupakan hari terakhir warga SK Seremban Jaya 2 menumpang teduh menimba ilmu, dan pengalaman di SK Seremban Jaya (4 Januari 2010 - 15 Januari 2010). Semoga ukhuwah ini berterusan selamanya. Terima kasih, SK Seremban Jaya. Budi kalian tidak terbalas.

Pada 16 Januari 2010, semua guru dan kakitangan menjayakan aktiviti gotong-royong di SK Seremban Jaya 2.  Sekolah ini mempunyai dua blok bangunan. Satu blok bangunan akademik setinggi dua tingkat yang menempatkan 30 buah kelas dan bilik-bilik khas.  Manakala satu blok bangunan setinggi satu tingkat menempatkan pejabat, bilik guru, perpustakaan, bilik-bilik khas dan bilik kaunseling.  Terdapat juga bangunan prasekolah setinggi dua tingkat, kantin dan di atas kantin ada dewan terbuka.

Pada 18 Januari 2010, warga SK Seremban Jaya 2 memulakan sesi persekolahan di bangunan sendiri yang terletak kira-kira satu kilometer dari SK Seremban Jaya.  Gimik Perasmian Perhimpunan Hari Pertama di Dataran Ilmu, SK Seremban Jaya 2 dan perasmian laman web sekolah iaitu http://sksj2.blogspot.com telah disempurnakan oleh Tuan Haji Jamali Bin Haji Salam, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan dengan disaksikan pegawai-pegawai dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan dan Pejabat Pelajaran Daerah Seremban.  
Pada 19 Januari 2010, SK Seremban Jaya 2 berasa amat bertuah apabila menerima kunjungan hormat daripada Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Alimuddin Bin Mohd. Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Abdullah Bin Mohamad, Pengarah pelajaran Negeri Sembilan,  Tuan Haji Jamali Bin Haji Salam, Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Yang Berusaha Tuan Haji Musa Bin Abdullah, Pegawai Pelajaran Daerah Seremban dan pegawai-pegawai pengiring. Beliau telah menyampaikan amanat yang amat berguna untuk pedoman dan panduan para guru.

2010, SK Seremban Jaya 2 mempunyai seramai 60 orang guru, 5 orang staf sokongan dan 958 orang murid. 2011, bilangan guru adalah seramai 63 orang dan 1015 orang murid.

Semua guru dan pelajar sangat teruja berada di sekolah baru yang mempunyai bangunan yang cantik ini.  Semoga SK Seremban Jaya 2 dapat mencipta kejayaan yang cemerlang dalam bidang akademik, sahsiah dan KoKurikulum pada setiap tahun.  Harapan semoga keputusan UPSR pada tahun ini cemerlang dengan kejayaan yang memberangsangkan.  Target tahun 2010, murid yang mendapat 5 A dalam peperiksaan UPSR seramai 39 orang (18%).  Tahun 2010, SK Seremban Jaya 2 melahirkan seramai 12 orang murid 5A, tahniah diucapkan. Semoga SKSJ2 melakar sejarah kecemerlangan berterusan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.